Friday, September 28, 2007

Astronaut, Cosmonaut, Taikonaut?




Tempohari, penulis ada menerima sepucuk email daripada seorang teman lama. Isi kandungan email itu amat menarik perhatian penulis dan penulis ingin berkongsi bersama pembaca- pembaca sekalian.

Permulaan
Email yang memetik blog aisehman.org , dimana aisehman mempersoalkan berkenaan gelaran angkasawan negara, Sheikh Mustaphor Shukor di dalam laman web NASA dikenali sebagai “space flight participant” bukan “astronaut” atau “cosmonaut”. Sekiranya “space flight participant” in dialihbahasakan, mungkin ia akan berbunyi “peserta penerbangan angkasa”.


Penulis lebih berminat untuk mendalami peristilahan angkasawan yang boleh digunakan oleh angkasawan Malaysia samada Sheikh Mustaphor Shukor ataupun Dr. Faiz Khalid.

Amerika dan Russia
Pihak Amerika Syarikat dan yang sealiran dengan mereka menggunakan “astronaut” untuk angkasawan mereka manakala pihak Soviet Union dan kini Russia pula menggunakan terma “cosmonaut”. Tidak dapat dipastikan samada cosmonaut itu berasal daripada perkataan “communist” tetapi penulis yakin ia mungkin berasal dari perkataan Greek iaitu “cosmos” untuk alam semesta dan “nautes” untuk pelayar.

Kemungkinan perkataan “astronaut” diasaskan daripada perkataan Greek iaitu “astro” untuk bintang dan “nautes” untuk pelayar. Untuk pihak China pula, lebih – lebih lagi angkasawan komersil, diberi gelaran sebagai “taikonaut”. Untuk makluman pembaca sekalian, terma ini bukanlah satu terma rasmi tetapi telah diterimapakai secara meluas oleh media Barat.

Peristilahan
Manakala peristilahan penerbangan angkasa adalah berbeza daripada satu agensi ke agensi yang lain. Berdasarkan FAI, iaitu Fédération Aéronautique Internationale, sebuah badan antarabangsa yang membuat standard dan penyimpan rekod untuk aeronautic dan astronautik, sesuatu misi itu hanya akan dikenali sebagai misi penerbangan angkasa hanya apabila satu penerbangan itu mengambil jarak ketinggian (altitude) sekurang – kurang 100 kilometer.

Manakala pihak Amerika Syarikat, menakrifkan sesuatu misi itu sebagai penerbangan angkasa tidak kira samada komersil, pertahanan, profesional atau persendirian jika melebihi altitude sekurang – kurangnya 80 kilomenter, akan dianugerahkan dengan sayap angkasawan.

Isunya ialah......
Isu yang lebih utama kini, adakah angkasawan Malaysia perlu dipanggil “spaceflight participant” ataupun “astronaut” ataupun “cosmonaut” ? Dari segi altitude, International Space Station terletak 320 km hingga 340 km dari permukaan bumi, secara langsung membolehkan angkasawan kita dianugerahi dengan sayap angkasawan.

Tetapi kenapa pula kita patut menerima terma ”peserta penerbangan angkasa”? Kalau tidak pun, sebagai sebuah negara, mungkin kita perlu mempunyai terma untuk menakrifkan angkasawan Malaysia.


Alternatif kepada "space flight participant"
Daripada perbualan dan sesi “brainstorming” yang diadakan bersama rakan – rakan saya ketika bosan, diselang selikan dengan minuman kopi – O, kami telah berjaya menyenarai pendek lebih kurang 5 (lima) terma yang difikirkan sesuai.

Bolehnaut
Inspirasi dari terma “Malaysia Boleh”, terma “bolehnaut” mengambarkan kebolehan rakyat Malaysia untuk menjadi seorang angkasawan. Lebih – lebih lagi dengan tugasan yang diberikan kepada angkasawan Malaysia ialah untuk menyempurnakan eksperimen sains dan tidak melakukan tugasan teknikal terutama pengendalian roket, stesen, dan apa – apa kerja teknikal yang berkaitan dengan ISS.

Tetapi, terma ini mungkin tidak sesuai lagi digunapakai memandangkan pentadbiran negara telah berubah dari Dr Mahathir kepada Datuk Seri Abdullah Badawi, yang kini mempopularkan terma” Islam Hadhari” dan “Cemerlang, Gemilang, Terbilang”

Hadharinaut
Memandangkan kedua – dua angkasawan Malaysia adalah beragama Islam dan akan menjadi manusia pertama menyambut Hari Raya Aidil Fitri di angkasa lepas. Mungkin ini boleh dijadikan satu modal untuk menaikkan konsep Islam Hadhari, lebih –lebih lagi setelah George Bush Jr. memuji konsep Islam Hadhari.


Secara terang, tiada siapa yang paham apa itu Islam Hadhari, tetapi tidak jelek jika George Bush Jr boleh memahaminya, kerana tiada siapa yang yakin dengan kebijaksanaan Presiden tersebut.

CGTnaut
Terma asal dari Cemerlang, Gemilang, Terbilang. Terma ini mengambarkan betapa Cemerlangnya kepimpinan negara kita, iaitu YAB Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang sering kali mengunjungi luar negara dan cuma menghabiskan 2 minggu di dalam negara setiap bulan.

Ini juga dapat menunjukkan betapa hebatnya program angkasawan Malaysia yang diberi percuma atas pembelian yang lebih besar. Analogi terbaik ialah jikalau anda membeli sebuah kereta Mercedes dan anda diberikan seutas jam Swatch. Lebih tepat ialah seperti anda membeli buku bernilai RM100 dengan harga RM1000 dan mendapat hadiah bernilai RM2.

Scominaut
Terma ini lebih sesuai digunakan sekiranya Scomi menaja penghantaran angkasawan ke ISS. Tetapi terma ini mungkin boleh digunakan untuk mengambarkan kejayaan Scomi yang mencanak-canak naik oleh kerana hubunganbaiknya dengan Perdana Menteri seperti roket yang menerpa ke angkasa raya, dengan kelajuan yang teramat sangat.

Maka mungkin ini melayakkan penggunaan “Scominaut” sebagai lambang kemajuan ekonomi Malaysia untu diterimapakai sebagai penakrifan khas angkasawan Malaysia.


mynaut
Meminjam terma “myteam” satu rancangan reality TV yang diilhamkan oleh Jason Lo dan Khairy Jamaluddin, menantu kesayangan Pak Lah. Program angkasawan juga melalui proses pemilihan yang “strict”. Memandangkan popularnya menantu Pak Lah ini dengan kejayaan beliau memenangi kerusi Naib Ketua Pemuda UMNO setelah mengikat calon – calon lain daripada bertanding dan juga terpilihnya beliau sebagai Timbalan Presiden FAM juga tanpa pertandingan, istilah “mynaut” mungkin dapat menambahkan hayat program angkasawan di Malaysia.

Adalah dijangka dengan adanya kaitan Khairy, lebih ramai sponsor dan penaja terutama GLC seperti TM, TNB dan syarikat – syarikat persendirian seperti AirAsia, Scomi dan Equine Capital akan turut mejadi penyumbang.

Scomi akan mendapat perhatian yang lebih kerana Scomi juga pernah terlibat di dalam pembinaan centrifuge untuk kegunaan peluru nuklear. Penajaan di industri astronautik ini akan meletakkan Scomi sebaris seperti Halliburton, sebuah syarikat yang mengaut keuntungan dari hubungan rapat dengan Presiden USA.


Sekiranya anda mempunyai cadangan anda tersendiri, jangan lupa hantarkan cadangan anda kepada:

Pertandingan Namakan Angkasawan Kita,
Budak – budak tingkat 4,
Pejabat Perdana Menteri Malaysia,
Bangunan Perdana Putra,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
625050 Putrajaya
Wilayah Persekutuan

Sekian. Terima Kasih.

PS. Sekiranya tiada balasan diterima, itu adalah perkara biasa, terutama daripada Jabatan Perdana Menteri, melainkan anda ingin mengadakan private function, mungkin boleh dipertimbangkan.

No comments: