Saturday, November 10, 2007

Perhimpunan BERSIH pada 10 Nov 2007

Semalam, perhimpunan rakyat yang meminta pilihanraya yang lebih telus dan adil, anjuran BERSIH, himpunan lebih dari 70 badan bukan kerajaan dan parti - parti pembangkang telah melihat lebih dari 40 ribu orang berduyun - duyun mengikuti perhimpunan dari pelbagai tempat di Kuala Lumpur hingga ke hadapan Istana Negara, untuk menyerahkan memorandum kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agung.

Angka jumlah peserta perhimpunan tidak dapat dipastikan, dan angka berbeza - beza bergantung kepada "bias" dengan kepentingan masing -masing. Ada yang meletak angka paling kurang sebanyak 10 ribu dan paling banyak 100 ribu.

Perhimpunan ini dijalankan walaupun telah mendapat amaran daripada pihak polis dan 2 personaliti UMNO iaitu Presiden UMNO dan Naib Ketua Pemuda UMNO. Penganjur gagal untuk mendapat permit perhimpunan lantas sekiranya berlakunya perhimpunan, ia akan dikatakan sebagai perhimpunan haram.

Pihak polis telah mengambil langkah "preemptive" dengan menutup laluan Dataran Merdeka untuk mengelakkan perkumpulan peserta - peserta perhimpunan yang menjadikan Dataran Merdeka sebagai tempat permulaan perhimpunan rakyat.

Pihak penganjur kemudianya menamakan 4 tempat berasingan iaitu Pasar Seni, Sogo, Masjid Jamik dan Masjid Negara sebagai pusat perkumpulan peserta sebelum peserta - peserta bergabung untuk menujuk ke hadapan Istana Negara.

Hujan lebat dari pagi semalam sehingga tengahari sedikit sebanyak mengurangkan jumlah peserta tetapi masih ramai yang masih mahu meneruskan pergerakan.

Juga dikhabarkan sebilangan besar peserta yang berkumpul di Masjid Jamik tidak dibenarkan keluar dari kawasan masjid. Kesahihan maklumat ini tidak dapat dipastikan.

Pada lebih kurang jam 2.30pm, peserta - peserta yang berkumpul di Masjid Jamik cuba memasuki kawasan Dataran Merdeka yang telah ditutup. Setelah 3 amaran diberikan, pihak polis melepaskan 2 tembakan gas dan meriam air (water cannon) untuk menyuraikan peserta - peserta perhimpunan.

Manakala 2 tembakan gas pemedih mata pula dilepaskan kepada peserta- peserta perhimpunan yang mula bergerak dari Pasar Seni untuk ke Istana Negara.

Setelah peserta - peserta disuraikan, hampir keseluruhan peserta tidak mempunyai arah tujuan dan setelah diberitahu oleh segelintir peserta, mereka terus bergerak ke Istana Negara secara berasingan. Pada lebih kurang jam 3 petang, tanpa sebarang kekacauan, halangan dan tindakbalas pihak polis, peserta-peserta telah memenuhi jalan dihadapan Istana Negara untuk menantikan kehadiran pemimpin - pemimpin parti politik yang terlibat untuk mengepalai utusan menemui pegawai protokol Istana Negara.

Setelah memorandum itu dihantar, pihak polis memberikan masa selama 5 minit untuk peserta - peserta perhimpunan bersurai secara aman. Sebelum itu, Anwar Ibrahim telah memaklumkan kepada peserta - peserta untuk menghadiri ceramah di Taman Melewar pada malam hari sebagai susulan untuk perhimpunan tersebut.

No comments: